NOTA

MODEL ASSURE

Model  ASSURE merupakan sebuah model rancangan pengajaran yang berasaskan bilik darjah. Terdapat beberapa langkah penting dalam model reka bentuk pengajaran ASSURE  yang sesuai digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran yang rapi dan tersusun akan menghasilkan pengajaran yang berkesan. Menurut Gagne (1985), pembelajaran berlaku sebagai satu proses perkembangan secara berperingkat.


            Proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih sempurna dan dapat mencapai objektif pembelajaran dengan adanya perancangan yang lengkap dan sistematik.  Seseorang guru perlu mengetahui perkara yang hendak dilaksanakan sebelum, semasa dan selepas proses pengajaran dan pembelajaran.  Mereka memerlukan satu perancangan yang rapi untuk memastikan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan lebih efisen dan berkesan.

            Pengaplikasian kaedah dan model pengajaran adalah penting supaya sesuatu objektif pembelajaran dapat dicapai. Model pengajaran yang sesuai digunakan untuk membantu guru mengajar dan menyampaikan maklumat kepada pelajar dengan lebih jelas dan berkesan supaya objektif pembelajaran dan pengajaran guru dapat dicapai.  Bahan yang digunakan dapat membantu guru untuk menjelaskan konsep dan memberi penerangan kepada pelajar agar apa yang ingin disampaikan dapat dengan jelas dan tepat.

            Model ASSURE (Heinich, Molenda, Russeii dan Smaldino, 1993) adalah model reka bentuk pengajaran yang boleh digunakan untuk merancang penggunaan media secara sistematik. Model ini digubal oleh Heinich dan rakan-rakan (1982). Model ini bertujuan untuk menyediakan panduan merancang dan mengendalikan pengajaran yang menggunakan media. Model ini berfokus kepada perancangan pengajaran dalam situasi bilik darjah.

            Model ini bermaksud ` memastikan sesuatu berlaku` di mana menekankan kepada guru tentang pengajaran kepada pelajar dengan gaya pembelajaran yang berbeza dan konstruktivis pembelajaran di mana pelajar dikehendaki untuk berinteraksi dengan persekitaran mereka dan tidak pasif menerima maklumat.

            Model ASSURE bermaksud mempastikan pembelajaran berlaku. Dalam model ini terdapat enam langkah seperti  :
·         A                Analyse learners ( Analisis pelajar).
·         S               State learning objectives ( Nyatakan objektif pembelajaran).
·         S              Select methods, media and materials (Pilih kaedah, media dan

    Bahan).
·         U               Utilise media and materials (Gunakan media dan bahan).
·         R              Require learner participation (Penglibatan pelajar dalam

   Pembelajaran.
·         E                Evaluate / Review (Penilaian  / semak semula bahan).






Rajah 1 :MODEL ASSURE

ANALISIS  PELAJAR
           

NYATAKAN OBJEKTIF
GUNAKAN MEDIA DAN BAHAN
NILAI BAHAN
PENGLIBATAN PELAJAR DALAM PEMBELAJARAN
PILIH KAEDAH, MEDIA DAN BAHAN
 

















1.    ANALISIS PELAJAR
Mengenalpasti kesediaan dan pengetahuan sedia ada pelajar berkaitan dengan tajuk yang hendak diajar. Kaji umur, bakat, kelas serta taraf ekonomi pelajar untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.

              Model ASSURE bermula dengan analisis pelajar. Ciri-ciri umum pelajar termasuklah deskripsi tentang umur pelajar, tingkatan, latar belakang dan sebagainya. Maklumat yang dinyatakan di atas boleh dijadikan asas dalam pemilihan media. Maklumat tersebut boleh diperolehi dengan meneliti rekod pelajar dan berinteraksi secara langsung dan guru akan dapat mengetahui harapan, sikap dan latar belakang pelajar.

              Peringkat pertama berkaitan dengan pengetahuan dan kemahiran sedia ada pelajar tentang tajuk dan kandungan pelajaran.Maklumat diperolehi daripada ujian kemasukan dan juga interaksi bersama mereka.  Pelajar pernah mendapat maklumat daripada buku rujukan dan mendapat pendedahan melalui majalah dan TV.Media yang digunakan perlu disesuaikan dengan ciri-ciri pelajar, kandungan pelajaran, kaedah, media dan bahan pembelajaran..

 Untuk menganalisis ciri pelajar, terdapat tiga item yang penting yang perlu difokuskan iaitu : penggunaan sesuatu media dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang perlu disesuaikan dengan ciri-ciri pelajar supaya penggunaannya berkesan dan bermakna kepada pelajar itu sendiri. Perkara-perkara berikut harus dijadikan pertimbangan guru iaitu perkembangan tahap kognitif dan fizikal pelajar yang akan diajar. Dengan itu bahan media yang digunakan dapat disesuaikan dengan tahap kognitif pelajar, di mana  hasil pembelajaran dan pembelajaran adalah lebih berkesan.  Selain itu, perbezaan budaya dan bahasa setiap pelajar harus diberi pertimbangan. Contohnya semua pelajar di sekolah saya terdiri daripada pelajar Melayu sahaja. Perbezaan bahasa dan budaya kurang dititikberatkan.



2.    MENYATAKAN OBJEKTIF
Nyatakan objektif dengan khusus berdasarkan pencapaian yang dirancangkan.

              Objektif pembelajaran perlu dinyatakan dengan jelas dan khusus supaya guru dapat lebih fokus kepada perkara yang sepatutnya dipelajari dan dikuasai oleh pelajar.  Setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dirancang adalah untuk menyampaikan maklumat berdasarkan objektif pembelajaran.  Penggunaan kaedah dan media yang bersesuaian dapat dipilih kerana guru telah fokus terhadap pengetahuan, kemahiran dan sikap baru yang perlu dikuasai oleh pelajar.

              Guru perlu menyatakan objektif pelajaran yang akan dicapai oleh pelajar sesuai dengan kehendak serta menetapkan perubahan tingkah laku yang akan berlaku pada pelajar.  Objektif-objektif pembelajaran secara khusus perlu dinyatakan dengan jelas bagi memastikan aplikasi yang akan dibangunkan mempunyai hala tuju yang terpimpin serta menepati kehendak. Objektif pembelajaran berfokuskan kepada apakah pengetahuan, kemahiran dan sikap yang baru untuk dipelajari.  Sebagai contoh :
i.              Siapa yang hendak mencapai objektif tersebut?
ii.             Apkah objektif yang hendak dicapai?
iii.            Bagaimana objektif hendak dicapai dan berapakah ukuran tahap minimum yang hendak dicapai.
Fokus penulisan objektif ialah pembelajaran bukan pengajaran.   Kumpulan sasaran ialah pelajar.  Pembelajaran akan berlaku sekiranya pelajar terlibat aktif dalam aktiviti pembelajaran sama ada secara mental atau prafizikal.  Sebagai contoh, selepas pengajaran pelajar dapat menyatakan rukun puasa dan syarat wajib puasa dengan lancar.

3.    PILIH KAEDAH, MEDIA DAN BAHAN
Guru hendaklah memilih media yang sedia ada dan disesuaikan dengan objektif pengajaran.  Sekiranya media itu rosak atau kurang sesuai hendaklah dibaiki terlebih dahulu.Tetapi media yang sedia ada tidak bersesuaian dengan objektif pengajaran, guru hendaklah membina media yang baru bersesuaian dengan tajuk dan objektif pengajaran.

              Dalam proses pemilihan, membaiki dan mengubah suai media, guru perlu memilih berdasarkan kepada tingkat kebolehan pelajar dan objektif pembelajaran yang ingin dicapai. Terdapat tiga  perkara yang perlu dilakukan  sebelum media dan bahan sumber boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara langkah yang perlu dilakukan ialah :

i.              Memilih Kaedah.
Dalam satu pengajaran, pelbagai kaedah berbeza akan diaplikasikan untuk disesuaikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dipilih seperti set induksi, pengenalan untuk konsep, aktiviti berkumpulan dan latihan.  Guru menarik perhatian pelajar dengan memulakan set induksi dan diikuti dengan kaedah perbincangan, latihan  dan latih tubi untuk mempelajari sesuatu pengetahuan yang baru.

ii.            Memilih Media.
Pemilihan media yang sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran merupakan antara faktor yang membolehkan mesej atau maklumat disampaikan secara bermakna.  Media yang dipilih ialah slaid, video, tayangan computer multimedia. Format media yang dipilih perlu sesuai dengan keupayaan pelajar.  Pemilihan media perlulah mengambil kira kumpulan pelajar, keupayaan, objektif serta maklum balas yang akan diberi.

iii.           Memilih Bahan.
Bahan sumber pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada isi pelajaran yang menjadi fokus pembelajaran. Sebagai contohnya, bahan yang dipilih ialah buku teks Pendidikan Islam Tahun 6, nota, majalah dan buku latihan.  Pemilihan bahan sumber adalah merujuk kepada isi pelajaran yang difokuskan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
4.    GUNAKAN MEDIA DAN BAHAN
Rancangkan bagaimana media itu hendak digunakan.Sediakan alat kemudahan untuk persembahan.Rancangkan aktiviti yang menarik minat murid serta memberi motivasi kepada pelajar supaya mereka berasa seronok. Adakan juga aktiviti susulan bagi tujuan pengayaan.

                        Penggunaan media dan bahan dalam pengajaran adalah penting kerana hal ini menjadi penentuan kepada keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.  Guru boleh menggunakan internet dalam proses pengajaran dan menyediakan bahan pengajaran dalam bentuk nota dan latihan. Buku Teks pendidikan Islam Tahun 6 juga digunakan.  Media dan bahan yang telah dipilih akan menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran pelajar. Selain  itu pemilihan bahan dan media tersebut adalah bersesuaian dengan pengalaman pelajar, jadi akhirnya dapat mendatangkan manfaat kepada pelajar.

                        Terdapat beberapa langkah yang perlu dibuat sebelum media dan bahan sumber boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Antara langkah-langkah yang perlu dilakukan seperti semak, pratonton, kaji bahan sumber sebelum digunakan, sediakan bahan dengan betul, lengkap dn cukup, rancang penggunaan bahan sumber, sediakan persekiran yang sesuai dengan menyusun bahan dan sumber agar mudah dicapai serta menggunakan bahan sumber secara optimum dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya, pada langkah ketiga dalam pembelajaran penggunaan bahan seperti kad peta minda  yang dibina oleh pelajar mengikut kumpulan masing-masing.


5.    PENGLIBATAN PELAJAR DALAM PEMBELAJARAN.
Tindak balas dari pelajar seperti membuat latihan hasil dari pembelajaran yang berlaku.Adakan juga pengukuhan supaya tindak balas yang betul diperolehi.

              Penglibatan pelajar dalam pembelajaran,  sesuatu pembelajaran yang melibatkan pelajar secara aktif akan menghasilkan perubahan tingkah laku yang diharapkan.  Pemilihan media dan bahan sumber yang sesuai dapat membantu dan mengekalkan penglibatan pelajar. Penggunaan gambar, gambar bersiri, video dan animasi dapat mencetuskan perbincangan kumpulan, penjanaan idea dan penglibatan aktif pelajar.Contoh penglibatan aktif pelajar adalah seperti membuat latihan, simulasi, perbincangan, latih tubi, kuiz, mengadakan sesi pemerhatian, perbincangan serta komen. Guru perlulah memastikan suasana proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan adalah sesuai, efektif serta menarik minat pelajar.

Guru mesti mempastikan proses pembelajaran berlaku, pelajar perlu terlibat dalam aktiviti pembelajaran seperti perbincangan, gerak kerja kumpulan, latihan, latih tubi dan sebagainya.  Pengukuhan serta merta perlu diberikan atas tindak balas pelajar yang betul. Dalam topik pengajaran ini, pelajar dibahagikan kepada kumpulan untuk mencari dalil naqli dan dalil aqli mengenai tajuk puasa dalam internet. Selepas itu latihan struktur juga diberikan kepada pelajar.  Contohnya : Ada pelajar yang suka belajar secara individu dengan berpandukan ICT.  Ia lebih selesa belajar bersendirian kerana ia dapat memproses maklumat dengan gaya tersendiri dan dapat membentuk kepuasan diri tanpa melibatkan orang lain.



6.    PENILAIAN DAN SEMAK SEMULA BAHAN
Penilaian ialah proses untuk melihat keberkesanan keseluruhan proses pengajaran dan pembelajaram mahupun program pendidikan yang dilaksanakan.  Penilaian boleh dibuat terhadap sesebuah program atau kursus, kesesuaian penggunaan media, pembinaan bahan pengajaran dan pencapaian murid mengikut keperluan.

Setelah tamat pengajaran, penilaian perlu dilakukan untuk melihat kekuatan dan keberkesanan media secara menyeluruh agar penambahbaikan dapat dilakukan untuk mendapatkan kesan penggunaan media yang maksimum dalam pengajaran.  Penilaian ialah proses membuat pertimbangan nilai tentang sesuatu perkara. Keputusan penilaian akan mempengaruhi keputusan yang diambil terhadap perkara yang dinilai.  Secara umum. Pencapaian pelajar dibahagikan kepada tiga iaitu :
i.              Prestasi pelajar berdasarkan rujukan kriteria (penilaian pelajar berdasarkan suatu set objektif yang telah ditentukan)
ii.             Prestasi pelajar dalam aspek kemahiran.
iii.            Sikap.
Pelajar akan dinilai dengan soalan objektif, betul/salah untuk melihat pemahaman. Mereka.Selain itu pelajar juga menjawab soalan struktur. Contohnya pelajar yang lemah diberi soalan pemulihan, pelajar yang sederhana diberi soalan pengukuhan dan pelajar yang cemerlang diberi soalan pengayaan.


KESIMPULAN

            Berdasarkan model ASSURE, pemilihan dn penggunaan media yang dibuat secata teliti dapat memastikan guru membuat pilihan media yang tepat dan menggunakan media secara optimum dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Model ASSURE mempunyai asas yang sangat kukuh untuk proses pengajaran dan pembelajaran.  Model ini bukan sekadar memberi memberi panduan kepada guru dalam pengajaran dan pembelajaran malah setiap ciri yang terkandung dalam ASSURE boleh mengubah persepsi pelajar terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang selalu dianggap membosankan.

 Sekiranya model ASSURE ini diaplikasikan sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran, saya yakin bahawa pelajar akan sentiasa tertunggu-tunggu pengajaran guru pada hari tersebut.  Bagi pihak guru pula, proses penyampaian maklumat akan menjadi lebih mudah, menarik dan berkesan.

2 comments: